LOGO BOMBA

logo right

JBPM Negeri Perak Terima Anugerah Prestasi Cemerlang Naziran Pematuhan Perakaunan Akruan 2025

Putrajaya, 4 Mac 2026 – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Perak telah berjaya menerima Anugerah Prestasi Cemerlang Naziran Pematuhan Perakaunan Akruan bagi Tahun 2025 sebagai pengiktirafan terhadap tahap pematuhan serta pengurusan kewangan yang cemerlang.

 

Anugerah khas tersebut telah disampaikan oleh YBhg. Dato’ Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan, yang mewakili YBhg. Datuk Wira Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan, kepada YAS Dato’ Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Perak dalam satu majlis yang berlangsung di Dewan Kristal, Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan.

 

Pencapaian ini mencerminkan komitmen tinggi warga Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Perak dalam memastikan pematuhan terhadap peraturan kewangan serta pelaksanaan pengurusan kewangan yang telus dan berintegriti selaras dengan amalan perakaunan akruan.

 

Dalam pada itu, pihak pengurusan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Perak merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua Ketua Bahagian dan Zon atas kerjasama serta komitmen berterusan dalam mematuhi peraturan kewangan. Sikap keterbukaan dalam menerima nasihat dan pandangan berkaitan kewangan daripada Cawangan Kewangan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Perak turut menyumbang kepada kejayaan ini.

 

Pengiktirafan ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada seluruh warga Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Perak untuk terus mengekalkan kecemerlangan dalam tadbir urus kewangan serta memperkukuhkan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.