LOGO BOMBA

logo right

PEMILIHAN PEGAWAI BOMBA BANTUAN DI BBP SKUDAI TARIK MINAT 32 CALON

Skudai, 2 April 2026 – Bertempat di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Skudai hari ini menjadi tumpuan apabila seramai 32 calon hadir bagi menyertai sesi pemilihan Pegawai Bomba Bantuan (PBB) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Johor yang diadakan sebagai usaha memperkukuh kesiapsiagaan pasukan di peringkat komuniti.

Program pemilihan yang berlangsung sejak pagi itu menyaksikan kehadiran calon daripada pelbagai latar belakang, termasuk golongan belia yang menunjukkan minat mendalam untuk berkhidmat sebagai anggota bomba bantuan. Kesemua calon telah melalui beberapa tapisan awal termasuk pemeriksaan fizikal, ujian kecergasan serta sesi penilaian disiplin dan komitmen.

Penguasa Kanan Bomba I Muhammad Tarmizi Md Jaafar, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM Johor berkata pemilihan ini bertujuan menambah keanggotaan PBB bagi membantu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor dalam menghadapi peningkatan kes kecemasan khususnya melibatkan kebakaran terbuka, kemalangan dan bencana kecil di kawasan setempat.

“Penglibatan masyarakat sebagai anggota bomba bantuan amat penting dalam memastikan tindak balas awal yang cepat dan berkesan sebelum ketibaan pasukan utama,” katanya.

Tambah beliau, calon yang berjaya akan mengikuti latihan intensif merangkumi aspek asas pemadaman kebakaran, penyelamatan serta pengurusan kecemasan sebelum diserap secara rasmi ke dalam pasukan PBB.

Program seumpama ini diharap dapat terus menarik minat masyarakat setempat untuk bersama-sama memainkan peranan dalam meningkatkan tahap keselamatan komuniti, selaras dengan aspirasi JBPM dalam memperkasakan perkhidmatan yang lebih efisien, cepat dan mesra rakyat.

PEMILIHAN PEGAWAI BOMBA BANTUAN DI BBP SKUDAI TARIK MINAT 32 CALON 1 PEMILIHAN PEGAWAI BOMBA BANTUAN DI BBP SKUDAI TARIK MINAT 32 CALON 2 PEMILIHAN PEGAWAI BOMBA BANTUAN DI BBP SKUDAI TARIK MINAT 32 CALON 3