

JOHOR BAHRU, 17 Mac 2026 – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor telah mengadakan Majlis Perhimpunan Bulanan bagi Bulan Mac 2026 yang berlangsung penuh istiadat dan bermakna di Dewan Bakawali, Ibu Pejabat JBPM Negeri Johor pagi tadi.
Majlis yang bermula seawal jam 9.00 pagi itu menghimpunkan pegawai kanan, anggota serta jemputan khas dalam usaha memperkukuh semangat kebersamaan dan profesionalisme warga JBPM. Ketibaan Pengarah JBPM Negeri Johor, YS PKPjB Siti Rohani binti Nadir pada jam 9.30 pagi telah menyempurnakan perjalanan majlis yang dimulakan dengan nyanyian lagu Bangsa Johor, Negaraku dan Siap Sedia Setiap Masa, diikuti bacaan doa.
Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan kesiapsiagaan anggota dalam menghadapi cabaran semasa serta komitmen berterusan dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat. Majlis turut menyaksikan pemakaian tanda pangkat Pegawai Bomba Bantuan Kanan II (PBBK II) sebagai simbol pengiktirafan terhadap dedikasi dan kecemerlangan pegawai terlibat.
Selain itu, JBPM Negeri Johor turut menerima penyerahan aset penting iaitu jentera Fire Rescue Tender (FRT) SITRAK dan Light Off-Road Vehicle (LOV) bagi memperkukuh keupayaan operasi kebombaan di negeri ini.
Majlis turut diserikan dengan penyampaian sijil penghargaan kepada orang awam, pegawai bomba serta pengamal media yang telah memberi sumbangan signifikan kepada jabatan. Pengiktirafan khas juga diberikan kepada Pasukan Bomba Sukarela (PBS) atas bantuan dalam operasi banjir di Thailand, sekali gus mencerminkan semangat kerjasama serantau yang tinggi.
Dalam usaha memupuk gaya hidup sihat, Anugerah Penurunan Berat Badan (Wellness Hub) Terbaik serta sijil penghargaan kepada pusat pengurusan Wellness Hub turut disampaikan kepada penerima yang berjaya menunjukkan komitmen cemerlang.
Majlis turut memperkenalkan baju korporat baharu Persatuan Sukan, Kebajikan dan Kebudayaan (PSKK) bagi tahun 2026 serta penyerahan kuih raya dan saguhati kepada anggota sebagai tanda penghargaan menjelang sambutan Aidilfitri.
Majlis diakhiri dengan sesi bergambar sebelum semua hadirin bersurai dalam suasana penuh muhibah dan semangat kekitaan.
Program seumpama ini bukan sahaja menjadi platform penghargaan kepada warga JBPM, malah turut memperkukuh hubungan antara jabatan dan masyarakat dalam memastikan keselamatan awam terus terpelihara.
Malaysian Ministry of Health
Malaysian Fire and Rescue Department
MEDIA DIGITAL JOHOR
Mohd Jafni Md Shukor
Onn Hafiz Ghazi
![]() |
![]() |
![]() |