LOGO BOMBA

logo right

149 WARGA JBPM JOHOR TERIMA PENGIKTIRAFAN DALAM MAJLIS APC 2025

JOHOR BAHRU, 21 April 2026 – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor terus mengiktiraf kecemerlangan warganya apabila menganjurkan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2025, Sijil Perkhidmatan 30 Tahun serta Sijil Perkhidmatan Terpuji Pegawai Bomba Bantuan (PBB) Tahun 2025 dalam satu majlis penuh gilang-gemilang, hari ini.

 

Majlis yang berlangsung di Grand Columbus Ballroom, Hotel Trove Johor Bahru itu telah disempurnakan oleh Othman bin Abdullah, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) JBPM.

 

Dalam ucapan alu-aluannya, Pengarah JBPM Negeri Johor menegaskan bahawa penganjuran majlis tersebut bukan sekadar acara tahunan, malah menjadi simbol penghargaan terhadap dedikasi, komitmen dan pengorbanan warga bomba dalam melaksanakan tugas kepada masyarakat dan negara.

 

Seramai 149 pegawai telah menerima pengiktirafan pada tahun ini, melibatkan:

  • 105 penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC),
  • 28 penerima Sijil Perkhidmatan 30 Tahun,
  • 16 penerima Sijil Perkhidmatan Terpuji Pegawai Bomba Bantuan (PBB).

Menurut beliau, jumlah tersebut mencerminkan tahap profesionalisme serta kecemerlangan tinggi dalam kalangan warga JBPM Johor, yang sentiasa komited dalam melaksanakan tanggungjawab walaupun berdepan risiko dan cabaran tugas.

 

“Di sebalik setiap kejayaan ini, terselit kisah pengorbanan, keberanian dan kecekalan anggota dalam memastikan keselamatan nyawa serta harta benda masyarakat sentiasa terpelihara,” katanya.

 

Beliau turut menyeru agar kecemerlangan yang dicapai dijadikan sebagai budaya kerja berterusan dan bukan sekadar pencapaian sementara, sejajar dengan aspirasi melahirkan warga kerja berprestasi tinggi dan berintegriti.

 

Dalam pada itu, penghargaan turut diberikan kepada penerima Sijil Perkhidmatan 30 Tahun atas sumbangan besar mereka sepanjang tempoh perkhidmatan, selain mengiktiraf peranan penting Pegawai Bomba Bantuan (PBB) yang menunjukkan semangat kesukarelawanan tinggi dalam membantu memperkukuh kesiapsiagaan jabatan.

 

Majlis tersebut turut menjadi lebih bermakna apabila ia merupakan sebahagian daripada siri jelajah rasmi YAS Dato’ Othman bin Abdullah ke negeri-negeri sebelum menamatkan perkhidmatan beliau, selain mengimbau kembali jasa dan sumbangan beliau yang pernah menerajui JBPM Negeri Johor sebelum ini.

 

Keseluruhannya, penganjuran majlis ini diharap dapat terus menjadi pemangkin semangat kepada seluruh warga JBPM untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat, selaras dengan peranan penting jabatan sebagai barisan hadapan dalam aspek keselamatan dan penyelamatan negara.

 

149 WARGA JBPM JOHOR TERIMA PENGIKTIRAFAN DALAM MAJLIS APC 2025 1 149 WARGA JBPM JOHOR TERIMA PENGIKTIRAFAN DALAM MAJLIS APC 2025 2 149 WARGA JBPM JOHOR TERIMA PENGIKTIRAFAN DALAM MAJLIS APC 2025 3