

21 April 2026 – Satu latihan menyelamat di gua telah berjaya dilaksanakan di Xscape Tambun dengan penglibatan seramai 30 pegawai dan anggota daripada pelbagai pangkat Balai Bomba dan Penyelamat Tambun.
Latihan ini mensimulasikan insiden melibatkan seorang mangsa yang terjatuh dari ketinggian kira-kira 10 meter dan mengalami kecederaan patah pada bahagian kaki. Dalam senario tersebut, pasukan penyelamat berhadapan dengan cabaran laluan gua sejauh 800 meter yang berair bagi sampai ke lokasi mangsa.
Setibanya di lokasi, mangsa telah diberikan rawatan awal sebelum dibawa keluar menggunakan pengusung (stretcher) melalui kaedah yang selamat, sistematik dan terkawal.
Latihan ini diketuai oleh PPgB Mohd Jamalludin bin Mat Yusop, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tambun, bertujuan meningkatkan tahap kesiapsiagaan serta kecekapan anggota dalam menghadapi operasi menyelamat di kawasan berisiko tinggi.
Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih dirakamkan kepada pihak Xscape Tambun atas kerjasama dan sokongan yang diberikan dalam menjayakan latihan ini dengan lancar dan berkesan.
“Cekap, Pantas dan Berintegriti”