

19 Jun 2026 | Gopeng, Perak
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Perak melalui Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gopeng telah menerima panggilan kecemasan pada jam 5.29 petang berhubung kejadian kepala air yang berlaku di Kampung Ulu Geruntum, Kuala Razila, Gopeng.
Setibanya pasukan bomba di lokasi kejadian, didapati fenomena kepala air telah menyebabkan jambatan utama yang menjadi laluan penduduk Orang Asli runtuh. Kejadian tersebut mengakibatkan seramai 20 penduduk, termasuk kanak-kanak, bayi, warga emas serta seorang wanita mengandung, terperangkap di kediaman masing-masing. Walau bagaimanapun, kesemua mereka dilaporkan berada dalam keadaan selamat dan mempunyai bekalan makanan yang mencukupi.
Selain itu, seramai 30 penduduk yang berada di luar kampung untuk bekerja tidak dapat pulang ke kediaman masing-masing berikutan kerosakan jambatan tersebut. Hasil penyelarasan dan perbincangan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pejabat Daerah, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta agensi berkaitan, kesemua mereka telah ditempatkan sementara di Gopeng Highlands Resort sehingga keadaan kembali selamat.
Operasi diketuai oleh PBK I Muhammad Izzat bin Ismail dengan pemantauan Komander Operasi Kanan, PPgB Hemanathan a/l Subermaniam. Turut hadir ke lokasi ialah PPgB Mohd Nor Khairi bin Johari selaku Pegawai On Call Harian JBPM Negeri Perak bagi memantau perkembangan situasi.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 8.55 malam setelah keadaan disahkan terkawal. Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian tersebut. JBPM Negeri Perak akan terus menjalankan pemantauan berkala dan bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi memastikan keselamatan serta kebajikan penduduk yang terjejas sentiasa terpelihara.