

20 Jun 2026 | Gopeng, Perak
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Perak telah berjaya melaksanakan operasi menyelamat dan pemindahan melibatkan 23 mangsa yang terperangkap susulan kejadian jambatan runtuh akibat fenomena kepala air di Kampung Ulu Geruntum, Kuala Razila, Gopeng.
Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gopeng menerima panggilan kecemasan pada jam 11.57 pagi sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi kejadian dan tiba pada jam 12.25 tengah hari.
Mangsa yang terlibat terdiri daripada pelbagai kategori termasuk kanak-kanak, warga emas, bayi, wanita hamil serta penduduk dewasa yang terperangkap akibat terputusnya laluan utama selepas jambatan runtuh. Kesemua mangsa dikenal pasti berada dalam keadaan selamat namun memerlukan bantuan pemindahan ke kawasan yang lebih selamat.
Operasi diketuai oleh PBK II Mohd Nazir bin Hj Mohd Alip dengan dibantu oleh PPgB Hemanathan a/l Subermaniam selaku Komander Operasi Kanan. Pasukan bomba melaksanakan kerja-kerja penyelamatan menggunakan sistem tali serta bantuan sebuah bot rafting milik Kuala Razila Resort bagi memudahkan proses pemindahan mangsa.
Sebagai langkah keselamatan, semua mangsa dipakaikan Personal Flotation Device (PFD) sebelum dibawa menyeberangi sungai yang mempunyai kedalaman kira-kira satu meter dengan jarak antara tebing sekitar 50 meter serta keadaan arus yang sedikit deras.
Hasil tindakan pantas dan koordinasi yang berkesan, kesemua 23 mangsa berjaya dipindahkan dengan selamat ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Bandaraya Gopeng. Operasi berjaya dikawal pada jam 1.50 petang dan ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.15 petang.
JBPM Negeri Perak merakamkan penghargaan dan mengucapkan tahniah kepada semua anggota serta agensi yang terlibat atas kerjasama, komitmen dan profesionalisme yang ditunjukkan sepanjang operasi berlangsung. Kecekapan tindakan yang diambil telah memastikan keselamatan mangsa sentiasa menjadi keutamaan dalam menghadapi situasi kecemasan ini.