

SEREMBAN, 4 Mei 2026 – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan telah melaksanakan Program Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia Tahun 2026 yang berlangsung dengan penuh istiadat di Ibu Pejabat JBPM Negeri Sembilan. Sambutan pada tahun ini merupakan detik bersejarah kerana diraikan bersama Sambutan Jubli Emas, menandakan 50 tahun penyatuan JBPM.
Atur cara dimulakan seawal jam 8.00 pagi dengan majlis keagamaan merangkumi bacaan Yasin, tahlil dan doa di surau ibu pejabat bagi mendoakan kesejahteraan seluruh warga jabatan. Majlis diteruskan di perkarangan lobi dengan upacara menaikkan Jalur Gemilang dan bendera jabatan secara serentak, diiringi nyanyian lagu Negaraku dan lagu jabatan ‘Siap Sedia Setiap Masa’ sebagai simbol patriotisme.
Kemuncak majlis adalah penyampaian Perutusan Khas Ketua Pengarah JBPM yang telah disempurnakan oleh YS PPjB Nor Arifin bin Kamari, Pengarah JBPM Negeri Sembilan. Dalam amanat tersebut, beliau menekankan kepentingan keseragaman mesej kepimpinan dan hala tuju organisasi dalam memastikan keselamatan masyarakat terus terjamin.
Majlis turut diserikan dengan sesi penghargaan daripada rakan strategik jabatan, di mana JBPM Negeri Sembilan telah menerima sumbangan kek istimewa daripada pihak Bank Rakyat sempena Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2026. Pihak jabatan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Bank Rakyat atas keprihatinan dan sokongan yang diberikan kepada seluruh warga wira merah Negeri Sembilan.
Turut hadir dalam majlis ini adalah barisan penolong pengarah bahagian, ketua-ketua zon serta pegawai-pegawai kanan JBPM Negeri Sembilan.