

ALOR SETAR, 2 Mac 2026 – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Kedah telah mengadakan Majlis Perhimpunan Tahunan Tahun 2026 bertempat di Dewan Muhammad Adib, Ibu Pejabat JBPM Negeri Kedah.
Majlis ini diadakan sebagai platform rasmi menghimpunkan seluruh warga jabatan bagi memperkukuhkan semangat kebersamaan, disiplin serta kesiapsiagaan dalam melaksanakan tanggungjawab kepada masyarakat.
Dalam majlis tersebut, YS Pengarah JBPM Negeri Kedah telah menyampaikan amanat yang menekankan kepentingan kesiapsiagaan operasi, peningkatan kompetensi, pemantapan integriti dan budaya kerja berprestasi tinggi selaras dengan aspirasi Jabatan serta semangat Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Penyatuan JBPM.
Majlis turut diserikan dengan pemakaian tanda pangkat serta penyampaian sijil dan anugerah kecemerlangan melibatkan Fire Fighter’s Challenge, National Fire Fighter’s Drill, Anugerah Zon dan Balai Terbaik Tahun 2025 serta penghargaan kepada pengamal media, Pasukan Bomba Sukarela dan orang awam.
Penghargaan khas turut diberikan kepada adik Faris Danish bin Fadhil, murid berusia 12 tahun yang telah menggunakan ilmu pertolongan cemas untuk menyelamatkan rakannya yang hampir lemas. Tindakan berani dan pantas beliau menjadi contoh bahawa pendidikan keselamatan mampu menyelamatkan nyawa tanpa mengira usia.
Secara keseluruhannya, majlis berlangsung dengan lancar dan mencapai objektif dalam meningkatkan motivasi serta mengiktiraf kecemerlangan warga JBPM Negeri Kedah.