

Anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) hari ini dibawa melalui udara bagi membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki wanita Jaslinda Saludin, 49, yang dilaporkan hilang di Gunung Batu Putih dekat Tapah, Perak sejak 23 Mei.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata kehadiran lapan anggota PGA Batalion 3 Bidor itu memasuki sektor pencarian, turut didorong faktor keselamatan berikutan ancaman hidupan liar selepas penemuan najis haiwan buas di kawasan sekitar.
“Kehadiran PGA (sebelum ini menerusi laluan darat) ini sedikit sebanyak membantu dari segi aspek keselamatan dan pada masa yang sama juga, satu gabungan kepakaran yang ada pada pihak mereka,” katanya kepada Bernama dan RTM, di Pusat Kawalan Hadapan (PKH) operasi mencari dan menyelamat (Ops SAR) Gunung Batu Putih JBPM di Batalion 3 PGA Bidor hari ini.
Beliau berkata kemasukan anggota PGA bersama lapan anggota STORM JBPM serta lapan anggota Jabatan Perhutanan termasuk malim gunung, menggunakan pesawat MI-17 memudahkan pergerakan berbanding sebelum ini yang memerlukan mereka berjalan kaki melalui jalan darat menerusi Gunung Batu Bujang dan Pos Kuala Woh.
Sabarodzi turut memaklumkan bahawa beliau belum dapat memastikan sama ada operasi hari ini merupakan fasa penggeledahan terakhir, memandangkan satu mesyuarat penyelarasan dijadualkan berlangsung pada Rabu.
Sementara itu, Pengarah JBPM Perak Datuk Sayani Saidon dalam kenyataan memaklumkan setakat 10 pagi tadi, masih terdapat lapan anggota pasukan penyelamat yang berada dalam sektor pencarian bermula dari Kem Sukaneka membawa ke Gunung Rayu.
Beliau berkata pada 11.20 pagi, seramai enam anggota penyelamat terdiri daripada dua anggota JBPM, tiga anggota PGA dan seorang petugas Perhutanan telah digerakkan ke lokasi Kem Kantoi dengan menaiki pesawat MI-17 bagi membawa keluar lapan anggota penyelamat sedia ada yang membawa kamera pelindung di puncak Gunung Rayu.
“Komunikasi bersama pasukan penyelamat masih terputus, dipercayai disebabkan berada di kawasan lembah dan terhalang liputan komunikasi,” katanya berkenaan status terkini operasi membabitkan keseluruhan 24 anggota baharu itu.
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |