LOGO BOMBA

logo right

PROGRAM MUNJUNG AIDILFITRI JBPM JOHOR 2026 MERIAHKAN BBP RENGGAM

Renggam, 26 Mac 2026 – Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam menerima kunjungan sempena Program Munjung Aidilfitri Pengurusan Tertinggi JBPM Johor 2026 yang berlangsung dari jam 11.30 pagi hingga 12.30 tengah hari dalam suasana penuh harmoni dan semangat kekeluargaan.

Kunjungan tersebut diketuai oleh PgKB II Siti Hajar binti Sanusi, Ketua Zon 3, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor, bersama tiga pegawai Zon 3. Ketibaan delegasi disambut mesra oleh Ketua Balai serta anggota BBP Renggam yang sedang bertugas.

Program dimulakan dengan panggilan baris sebagai simbol disiplin dan kesiapsiagaan anggota, diikuti dengan penyampaian amanat serta ucapan Salam Aidilfitri. Dalam ucapannya, beliau menzahirkan penghargaan terhadap komitmen anggota yang terus menjalankan tugas dengan penuh dedikasi walaupun dalam suasana perayaan.

Majlis diteruskan dengan sesi menandatangani buku lawatan, diikuti sesi ramah mesra bersama anggota bertugas yang memperkukuh hubungan silaturahim antara pengurusan dan warga balai. Program kemudian diserikan dengan jamuan ringan, sesi bergambar serta penyampaian cenderahati sebagai tanda penghargaan.

Kunjungan ini bukan sahaja menceriakan suasana Aidilfitri, malah menjadi suntikan semangat kepada anggota yang bertugas di lapangan dalam memastikan keselamatan masyarakat terus terjamin.

Seluruh warga kerja BBP Renggam merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas kesudian PgKB II Siti Hajar binti Sanusi bersama pegawai Zon 3 meluangkan masa menyantuni anggota yang sedang bertugas.

Semoga ukhuwah yang terjalin ini terus kukuh dan seluruh warga JBPM sentiasa dilindungi serta dirahmati Allah dalam melaksanakan amanah kepada masyarakat.

Malaysian Ministry of Health
Malaysian Fire and Rescue Department
MEDIA DIGITAL JOHOR
Mohd Jafni Md Shukor
Onn Hafiz Ghazi

PROGRAM MUNJUNG AIDILFITRI JBPM JOHOR 2026 MERIAHKAN BBP RENGGAM 1 PROGRAM MUNJUNG AIDILFITRI JBPM JOHOR 2026 MERIAHKAN BBP RENGGAM 2 PROGRAM MUNJUNG AIDILFITRI JBPM JOHOR 2026 MERIAHKAN BBP RENGGAM 3