

JOHOR BAHRU, 18 Mac – Seramai 24 petugas barisan hadapan yang terdiri daripada pekerja kebersihan dan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) telah menerima sumbangan bakul makanan dalam satu program kebajikan yang diadakan di beberapa lokasi sekitar Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor, hari ini.
Program penyampaian sumbangan tersebut melibatkan petugas yang bertugas di Ibu Pejabat JBPM Johor, Kompleks Kuarters Bomba Johor serta Bahagian Kejuruteraan JBPM Johor. Inisiatif ini merupakan tanda penghargaan terhadap jasa dan komitmen mereka dalam memastikan kebersihan serta keselamatan kawasan sentiasa berada pada tahap terbaik.
Sebanyak 11 orang pekerja kebersihan dan 13 orang anggota RELA telah menerima sumbangan bakul makanan yang disumbangkan oleh pihak 99 Speed Mart sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat berkenaan.
Majlis penyampaian sumbangan telah disempurnakan oleh Pengarah JBPM Negeri Johor, YS PKPjB Siti Rohani binti Nadir. Turut hadir dalam program tersebut ialah Puan Nurul Alia binti Bustamam, Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan JBPM Johor serta Encik Idrus bin Abd Karim, Ketua Cawangan Pentadbiran JBPM Johor.
Dalam ucapannya, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua petugas kebersihan dan anggota RELA yang sentiasa komited menjalankan tugas masing-masing, khususnya dalam memastikan persekitaran kerja yang selamat dan kondusif.
“Walaupun tugas mereka sering berada di belakang tabir, sumbangan mereka amat besar dan wajar dihargai. Program seperti ini diharap dapat meringankan beban serta menyuntik semangat kepada mereka untuk terus berkhidmat dengan penuh dedikasi,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada 99 Speed Mart atas keprihatinan dan sokongan berterusan dalam menjayakan program kebajikan seperti ini.
Program seumpama ini mencerminkan komitmen berterusan JBPM Johor dalam menjaga kebajikan warga kerja serta komuniti yang terlibat secara langsung dalam menyokong operasi jabatan.
Malaysian Ministry of Health
Malaysian Fire and Rescue Department
MEDIA DIGITAL JOHOR
Mohd Jafni Md Shukor
Onn Hafiz Ghazi
![]() |
![]() |
![]() |