

PUNGGAl, 26 Mac – Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor, Siti Rohani binti Nadir, turun padang meninjau sendiri operasi pemadaman kebakaran hutan yang berlaku di Jalan Bypass Punggai–Sebana Cove, hari ini.
Lawatan tersebut bagi memastikan operasi pemadaman berjalan lancar serta memberi sokongan moral kepada anggota yang bertungkus-lumus mengawal kebakaran sejak beberapa hari lalu.
Menurut laporan situasi terkini setakat jam 12.00 tengah hari, operasi pemadaman melibatkan dua lokasi utama iaitu Jalan Bypass Punggai–Sebana Cove yang terbakar seluas kira-kira 150 hektar sejak 21 Mac lalu, serta kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pengerang yang melibatkan keluasan 10 hektar sejak 24 Mac.
Operasi bersepadu itu melibatkan kekuatan seramai 35 anggota bomba bersama pelbagai agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Yayasan Perladangan Johor (YPJ), KEJORA serta Majlis Perbandaran Pengerang.
Beliau berkata, pihaknya menggunakan kaedah serangan langsung (direct attack) dengan bantuan water tanker bagi mengawal kemerebakan api ke kawasan baharu.
“Setakat ini, sebanyak 85 peratus atau 127.5 hektar kawasan kebakaran di Jalan Bypass Punggai–Sebana Cove telah berjaya dipadamkan. Manakala di PPR Pengerang, sebanyak 55 peratus atau kira-kira 4.5 hektar kawasan telah berjaya dikawal,” katanya.
Tambah beliau, bantuan jentera berat seperti excavator dan backhoe turut digunakan bagi membina ‘fire break’ sebagai langkah mengekang api daripada terus merebak ke kawasan berhampiran.
Operasi turut dibantu oleh pekerja ladang YPJ yang menjalankan kerja-kerja pemotongan laluan keselamatan serta proses ‘cooling’ di kawasan terjejas.
Bagi mempercepatkan pemadaman sepenuhnya, pihak JBPM merancang untuk menggunakan kaedah ‘water bombing’ dengan bantuan helikopter selain meneruskan serangan langsung ke atas baki kawasan yang masih terbakar.
Di lokasi PPR Pengerang pula, teknik ‘total flooding’ digunakan dengan memanfaatkan sumber air daripada pili bomba berhampiran, selain penggunaan jentera berat untuk memperkukuh kawalan kebakaran.
Pihak berkuasa memberi jaminan bahawa operasi akan diteruskan secara agresif sehingga kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya, sekali gus memastikan keselamatan penduduk dan alam sekitar terus terpelihara.
Malaysian Ministry of Health
Malaysian Fire and Rescue Department
MEDIA DIGITAL JOHOR
Mohd Jafni Md Shukor
Onn Hafiz Ghazi
![]() |
![]() |
![]() |