

KUALA TERENGGANU, 3 Jun 2026 – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Terengganu telah mengadakan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan Penyampaian Sijil Perkhidmatan Terpuji Pegawai Bomba Bantuan (PBB) Tahun 2025 bertempat di Dewan Dato’ Sri Abdul Wahab, Ibu Pejabat JBPM Negeri Terengganu.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh YAS Dato’ Othman bin Abdullah, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) JBPM.
Penganjuran majlis ini bertujuan untuk memberikan pengiktirafan dan penghargaan kepada pegawai serta anggota yang telah menunjukkan prestasi kerja cemerlang, komitmen tinggi dan dedikasi dalam melaksanakan tugas serta tanggungjawab yang diamanahkan. Selain itu, penyampaian Sijil Perkhidmatan Terpuji kepada Pegawai Bomba Bantuan turut menjadi simbol penghargaan atas jasa dan sumbangan mereka dalam memperkukuhkan penyampaian perkhidmatan kebombaan dan penyelamatan kepada masyarakat.
Majlis turut dihadiri oleh YS PPjB Nor Mahathir bin Muhamad, Pengarah JBPM Negeri Terengganu, barisan pegawai kanan serta warga kerja JBPM Negeri Terengganu.
Pengiktirafan yang diberikan diharap dapat menjadi pemangkin semangat kepada seluruh warga jabatan untuk terus meningkatkan kecemerlangan perkhidmatan, memperkukuh budaya kerja berprestasi tinggi serta mengekalkan tahap profesionalisme dalam melaksanakan amanah demi keselamatan rakyat dan negara.