

KEMAMAN, 7 Jun 2026 – Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Terengganu, YS PPjB Nor Mahathir bin Muhamad telah mengadakan kunjungan hormat ke Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Kampus Wilayah Timur, Kemaman bagi membincangkan potensi jalinan kerjasama strategik antara kedua-dua agensi.
Delegasi JBPM Negeri Terengganu telah disambut oleh Pengarah INTAN Kampus Wilayah Timur, YBrs. Encik Dick Khuzairiy bin Mohamad bersama barisan pegawai kanan INTAN.
Kunjungan tersebut bertujuan untuk membincangkan peluang kerjasama khususnya dalam pelaksanaan kursus-kursus di bawah Manual Pengurusan Balai JBPM serta mendapatkan pandangan, khidmat nasihat dan perkongsian kepakaran daripada INTAN dalam aspek pembangunan kompetensi pegawai dan anggota JBPM.
Melalui pertemuan ini, kedua-dua pihak turut bertukar pandangan mengenai inisiatif pembangunan modal insan, peningkatan kemahiran serta program latihan yang dapat memberi manfaat kepada warga kerja JBPM Negeri Terengganu.
Diharapkan jalinan kerjasama strategik antara JBPM Negeri Terengganu dan INTAN Kampus Wilayah Timur ini akan terus diperkukuhkan demi melahirkan warga kerja yang kompeten, profesional dan berdaya saing.