

Perkhemahan Kadet Bomba dan Penyelamat Malaysia Peringkat Negeri Sarawak Tahun 2026 telah berlangsung pada 14 hingga 16 Julai 2026 bertempat di Dewan Suarah, Bintulu. Program ini dianjurkan oleh Bahagian Latihan Negeri dengan kerjasama Zon 5 Sarawak.
Program ini telah melibatkan enam (6) kontinjen iaitu dari Zon Kuching, Zon Sri Aman, Zon Sibu, Zon Bintulu, Zon Miri dan Zon Limbang. Seramai 120 orang kadet bomba, 12 orang guru pengiring serta 12 orang jurulatih telah mengambil bahagian dalam perkhemahan ini.
Objektif utama penganjuran perkhemahan ini adalah untuk memupuk semangat kepimpinan, disiplin serta jati diri dalam kalangan anggota Kadet Bomba dan Penyelamat Malaysia.
Sepanjang tempoh perkhemahan, para peserta telah menyertai pelbagai acara yang menguji ketahanan fizikal, kemahiran teknikal serta pengetahuan mereka. Antara acara yang dipertandingkan ialah Kawad Operasi Kering Berhalangan, ASPEC Challenge, Ikatan dan Simpulan serta Kuiz Kebombaan. Selain itu, Pertandingan Khemah Terbaik dan Malam Kebudayaan turut diadakan bagi menyerlahkan kreativiti, kekemasan serta semangat kerjasama dalam kalangan kontinjen.
Bagi keputusan keseluruhan, Sekolah Menengah Sains Miri (Zon Miri) telah dinobatkan sebagai Johan Keseluruhan. Tempat Naib Johan dimenangi oleh Sekolah Menengah Kebangsaan Kapit No. 2 (Zon Sibu), manakala tempat ketiga menjadi milik Sekolah Menengah Kebangsaan Trusan, Lawas (Zon Limbang).
Majlis Perasmian Penutupan telah disempurnakan oleh YS PKPjB Jamri bin Masran, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sarawak. Turut hadir ialah Encik Awgku Ali Udin bin Awg Adenani, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah, Sektor Pembangunan Murid, Pejabat Pendidikan Daerah Bintulu, serta PgKB II Azizah binti Salim, Penolong Pengarah, Bahagian Latihan Negeri.