

Ketibaan YAS Dato’ Othman bin Abdullah telah disambut oleh barisan pegawai dan seluruh warga Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Palong. Lawatan kerja ini merupakan platform penting bagi beliau untuk meninjau secara dekat pembangunan infrastruktur serta menyantuni warga jabatan di peringkat balai.
Sesi lawatan dimulakan dengan ucapan amanat daripada YAS Dato’ Othman. Dalam amanat tersebut, beliau berkongsi nasihat dan aspirasi untuk memastikan kualiti perkhidmatan kebombaan sentiasa cemerlang. Selain itu, beliau turut menyempurnakan acara penanaman pokok di perkarangan balai sebagai tanda kenang-kenangan dan simbolik kelestarian di BBP Palong. Majlis diakhiri dengan sesi jamuan ringan yang berlangsung dalam suasana penuh ukhuwah.
Lawatan kerja ini amat bermakna, namun pada masa yang sama diselubungi suasana hiba memandangkan ia merupakan siri lawatan akhir sempena persaraan beliau yang bakal tiba tidak lama lagi.
Seluruh warga BBP Palong menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas segala jasa, kepimpinan serta bimbingan yang telah dicurahkan oleh YAS Dato’ Othman bin Abdullah sepanjang perkhidmatan beliau dalam memperkasakan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
Semoga YAS Dato’ sentiasa diberkati, dikurniakan kesihatan yang afiyah serta kesejahteraan berpanjangan dalam menempuh fasa persaraan nanti.