

Tarikh: 14 Mei 2026
Tempat: Pantai Kampung Nagalang, W.P. Labuan
Malaysia Airports telah melaksanakan Latih Amal Kecemasan Aerodrom (AEX) di pantai Kampung Nagalang hari ini, bagi memastikan tahap kesiapsiagaan agensi keselamatan di Labuan memenuhi piawaian keselamatan antarabangsa.
Latihan berskala penuh melibatkan 35 agensi, mensimulasikan insiden pesawat terhempas di luar kawasan lapangan terbang, serta ancaman bom dan pelanggaran burung semasa fasa pendaratan.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Labuan, Rithuan Mohd Ismail berkata, latihan jenis kecemasan berganda itu bertujuan menilai keberkesanan Pelan Tindak Balas Kecemasan Lapangan Terbang (AEP) selain tahap koordinasi antara agensi terlibat.
“Fungsi juga adalah untuk kita mengeratkan lagi persefahaman dan kerjasama dan koordinasi di antara agensi-agensi di Labuan dan memastikan tahap kesiapsiagaan yang tinggi untuk kita menangani insiden yang berlaku ini,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Labuan.
Pantai Nagalang dipilih sebagai lokasi simulasi kerana berada dalam ‘Flight Path’ atau laluan penerbangan sebenar, sebelum pesawat mendarat di Labuan.
Rithuan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan berkata, komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh semua agensi membuktikan Labuan sentiasa berada pada tahap kesiapsiagaan terbaik bagi menghadapi sebarang insiden atau bencana pada masa hadapan.